Thursday, November 19, 2009

Hari Raya Korban

Selamat menyambut hari raya haji@korban kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga raya korban yang bakal menjelma akan memberi kepada kita semua tentang erti pengorbanan yang sewajarnya.

Sunday, August 16, 2009

SELAMAT DATANG!

Alangkah indahnya apabila Allah memberi lagi peluang untuk diri ini serta umat Islam yang lain untuk menikmati kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak yang akan menjelang tidak lama lagi. Betapa rindunya diri ini untuk merasai suasana itu. Dapat menjalankan ibadah puasa serta solat terawikh yang hanya boleh ditunaikan pada bulan ramadhan yang penuh barakah ini.

Semoga Ramadhan yang akan menjelang nanti, dapat aku menyempurnakan rukun Islam ini dengan sempurna serta melipatgandakan ibadah. Semoga Allah memberikan lagi kesempatan untuk diri ini merasai kenikmatan berpuasa. Amin.

"Selamat Berpuasa untuk semua"

Renungan


" Terdapat satu waktu yang singkat pada hari jumaat,
Sesiapa yang bersembahyang dan berdoa menepati
waktu tersebut, Allah akan makbulkan permintaannya"

(Hadis Riwayat Muslim)

Wednesday, August 5, 2009

KRISIS GULA

Saban tahun, setiap kali umat Islam mahu menyambut Ramadhan yang mulia serta Hari Raya, pasti krisis gula melanda. Krisis yang sentiasa akan berulang. dakah puncanya dari sikap pengilang yang menghadkan pengeluaran? Atau berpunca dari sikap pemborong yang sengaja menyorokkan gula bagi menaikkan harga kepada pengguna? Persoalan ini sentiasa berlegar namun, jawapannya belum pasti.

Pastinya bila krisis ini berlaku, pengguna yang mula menggelabah. Memikirkan di mana mahu mendapatkan bekalan gula kerana rata-rata kedai dan juga pusat membeli-belah tidak dapat menyediakan keperluan gula seperti biasa. Maka, perlu dikurangkan gula dalam kehidupan harian dan mungkin bagus juga untuk kesihatan. Namun, jika kehabisan gula dalam jangka waktu yang panjang perlu kita mencari inisiatif lain bagi menggantikan gula. Tetapi tiada jawapannya.

Selepas menjelang hari raya nanti, pasti bekalan gula pulih semula. Senario yang sama berlaku apabila tiba musim perayaan. Ini akibat dari sikap tamak dan rakus manusia untuk mengejar keuntungan tanpa memikirkan kesusahan orang lain. Apa hendak jadi dengan dunia ini?

DIBERI PELUANG

Kadangkala kita terfikir, benarkah dalam hidup ini tuhan sentiasa memberikan peluang yang baik kepada setiap hambanya?

Bagi aku, sebagai hamba kita perlu percaya kepada apa yang ditentukan untuk kita adalah 'Yang Terbaik' untuk kita terima. Seringkali timbul ketidak percayaan di kalangan mereka yang sempurna fizikalnya untuk menerima bahawa mereka yang 'berlainan upaya' juga mampu meneruskan hidup dengan mencari rezeki mengikut kemampuan dan kudrat diri yang ada. Ini yang mahu aku buktikan kepada masyarakat. Tidak semestinya yang yang digelar 'OKU' hanya tahu menagih simpati namun golongan ini juga mempunyai semangat untuk berdikari.

Aku juga tidak gemar untuk menjadikan kekurangan pada diri sebagai satu tiket untuk meminta simpati orang lain. Bagi aku setiap apa yang diinginkan perlu disertai dengan usaha dan ikhtiar. Kini, dengan berbekalkan kudrat yang ada aku diberi peluang oleh Allah untuk melakukan kerja yang boleh meraih pendapatan sampingan. Kini, aku berjinak-jinak dengan mengusahakan dobi secara kecil-kecilan di rumah. Bagi aku tiada yang mustahil di dalam dunia ini untuk dilakukan asalkan ada semangat untuk berusaha!

Semoga usaha ini akan diberkati:)

Thursday, July 9, 2009

Buku Halwamindaku Bulan Ini


Buku ini menjadi pilihan saya untuk bulan ini. Baru beberapa mukasurat yang dibaca namun keterujaan saya untuk menghabiskannya begitu menebal. Semakin diselak sehelai demi sehelai mukasuratnya, semakin hati ini ingin mengetahui apa dia yang dikatakan yakjuj dan makjuj. Namun, ada sedikit kesukaran dalam memahami sesuatu keterangan disebabkan perkataan yang digunakan kadangkala tidak difahami menyebabkan ia sedikit membantutkan pembacaan saya.
Walaubagaimanapun, saya tetap mengatakan buku ini memang baik dan bermutu isi kandungannya.

Wednesday, June 10, 2009

Anugerah Tuhan

Setiap kekurangan pada diri seseorang, pastinya ada kelebihan yang menjadi nadi penggerak kepada seseorang itu untuk meneruskan hidup. Tidak semua mereka yang kurang upaya itu tidak mempunyai kelebihan tertentu. Kisah yang dipaparkan ini menjadi inspirasi kepada mereka yang inginkan semangat baru dalam menempuhi hidup ini. (Dipetik dari KOSMO)

RENCANA UTAMA

Cacat penglihatan bukan halangan

Prakash Suriya Murthy yang cacat penglihatan tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk mencapai matlamat hidup yang lebih sempurna.




SEBAGAI seorang penulis, kesilapan dan kesalahan yang tidak disengajakan boleh berlaku. Hakikatnya, sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari daripada kekurangan yang cuba disembunyikan. Ada pula sesetengah orang menyedari dan memperbaiki kekurangan yang ada dengan mempelajari perkara-perkara baru yang berlaku di sekeliling.

Prakash Suriya Murthy, 27, dari Cheras, Kuala Lumpur membuktikan bahawa insan cacat sepertinya mampu menongkah arus kehidupan seperti individu normal. Tuan empunya badan ini juga aktif membangunkan masyarakat cacat penglihatan. Sumbangan itu dilakukannya dengan memperkemaskan penterjemahan buku falsafah hidup bertajuk Thirukural daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu.

Ditulis oleh Thiruvalluvar kira-kira 2,000 tahun lalu, buku ini membicarakan mengenai sifat kasih mengasihi, hubungan di antara suami dan isteri, anak beranak, kerjaya, kewangan dan sebagainya. Murthy kini menunggu penerbitan buku setebal 200 muka surat itu.

"Saya mengenali Murthy ketika dia bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama enam bulan di bawah program anjuran Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). Saya tidak ragu-ragu dengan kemahirannya untuk kerja-kerja penterjemahan."

"Bak kata orang, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Beliau telah mengaplikasikan bakatnya di saluran yang betul," kata Norhisyam Karno, bekas Pegawai Perancang Bahasa DBP yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Rompin, Pahang.

Murthy disahkan menghidap retina blastoma iaitu sejenis penyakit kanser mata ketika umurnya dua bulan.

Kesannya, mata kanan Murthy perlu dibedah segera bagi mengeluarkan bola matanya yang rosak.

"Oleh kerana mata kiri turut diserang sel kanser, ia tidak mampu berfungsi dengan baik. Rawatan laser mahupun penggunaan bola mata yang baru, tidak dapat menjanjikan harapan yang cerah," ujar Prakash ketika ditemui di Perpustakaan Utama, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Layanan sama rata

Beliau berterima kasih kepada ibu bapanya yang tidak pernah berputus asa. Tidak membiarkannya merana sebatang kara, Murthy diberikan dengan segala kemudahan asas. Beliau dihantar ke Sekolah Rendah Pendidikan Khas, Jalan Batu, Kuala Lumpur diikuti dengan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur.


MASALAH cacat penglihatan boleh ditangani sejak kecil lagi.


Murthy memperoleh Pangkat 1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 5 prinsipal penuh ketika di tingkatan enam. Ketika menunggu keputusan permohonan masuk ke universiti, Murthy bekerja dengan Tanco Resort sebagai wakil pemasaran selama tiga bulan.

"Walaupun ibu saya seorang suri rumah manakala bapa seorang pemandu lori di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mereka melayan saya seperti seorang anak yang normal. Saya tidak dimanjakan atau didiskriminasi.

"Mereka mahu saya berdikari dan menyemai sikap bertanggungjawab terhadap diri sendiri," jelasnya yang mempunyai seorang adik perempuan yang normal dan kini bekerja sebagai pegawai bank.


MURTHY tidak banyak beza daripada insan lain yang sempurna anggota badannya.


Murthy ditawarkan program Seni Persembahan Drama tetapi dalam tempoh dua minggu, dekan fakulti mencadangkan supaya beliau menukar program kerana tidak sesuai dengan keadaan fizikalnya.

Akhirnya, tuah memihak kepada diri Murthy apabila beliau diletakkan di Fakulti Pengajian Melayu untuk program Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Melayu. "Sudah separuh jalan mengikuti kursus tersebut, saya mula sedar bahawa sejak kecil, saya mempunyai kemahiran menterjemah apa sahaja yang didengar dalam bahasa Tamil ke dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

"Saya menamatkan pelajaran tanpa menghadapi masalah. Selain itu, kemudahan bilik Karel yang disediakan di perpustakaan, banyak membantu saya menyiapkan tugasan dalam sebuah ruang peribadi," katanya.

Kata Murthy, golongan cacat penglihatan sepertinya diberi borang bagi mendapatkan khidmat siswazah membaca dan merakamkan nota bertulis. JAWS, sebuah perisian komputer khas menjadi teman dan mata yang menjanjikan pulangan pendapatan yang berterusan.


JAWS, sebuah perisian komputer membantu Murthy menjalankan tugasan penterjemahan.


Sementara menunggu tawaran Ijazah Lanjutan Perterjemahan di UM pada tahun 2007, Murthy giat mencari klien dan kerja-kerja penterjemahan dari bahasa Tamil ke bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan sebaliknya. Bagaimanapun, ramai yang menolak kerana Prakash cacat penglihatan.

Memandangkan teknik bertemu kurang berkesan, Murthy mencuba strategi baru iaitu menelefon klien yang berpotensi supaya menghantar kerja-kerja penterjemahan melalui e-mel. Jika perlu berjumpa, beliau mengambil inisiatif pergi sendiri ke pejabat klien dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya sehinggalah ke Puchong, Selangor.

"Ada yang agak terkejut melihat saya seorang yang cacat penglihatan. Tetapi oleh kerana mereka berpuas hati dengan hasil kerja saya sebelum ini, saya diberi kerja sambilan dari semasa ke semasa," katanya yang mempunyai empat orang klien tetap dan lima orang klien sementara.

Menepati masa

Antara topik terjemahan yang dikendalikan oleh Murthy ialah perundangan, psikologi, buku cerita, keagamaan, prinsip hidup dan lain-lain. Suresh Maniam, salah seorang klien beliau sejak awal tahun ini melahirkan rasa gembira melihat komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Murthy.

"Orang yang sempurna anggota fizikal pun belum tentu dapat menunjukkan kesungguhan," ujar Maniam yang sejak sekian lama mencari seorang pakar penterjemah yang arif dalam isu-isu keagamaan dan budaya untuk disiarkan di laman sesawang.


RAMAI golongan cacat penglihatan kini mampu berdikari dengan kemahiran yang dimiliki.


Merupakan seorang bendahari di sebuah kuil Hanuman di Brickfields, Kuala Lumpur, Suresh terlebih dahulu menguji kebolehan Prakash. Ujian itu dilakukan bukan kerana kecacatannya tetapi bagi memastikan hasil kerjanya sesuai dengan pembaca di peringkat antarabangsa.

"Saya terkejut membaca artikelnya dengan kesalahan yang minimum. Justeru, saya mahu terus menjalin kerjasama dengan golongan sepertinya pada masa akan datang dan tidak kisah dengan soal pembayaran," kata Maniam.

Haryati Mohd. Taha, pemilik syarikat penterjemahan Medatta Creations, merupakan klien baru yang menghantar kerja penterjemahan dari bahasa Tamil ke bahasa Inggeris. Haryati juga tidak menyangka bahawa orang yang berbual dengannya selama ini cacat penglihatan.

"Itu tidak penting bagi saya. Yang penting, dia dapat menghantar hasil kerjanya tepat pada masa dan lebih-lebih lagi, menepati kehendak saya. Saya menghargai orang sepertinya," ujar Haryati yang mengupah seramai 50 penterjemah bebas termasuk seorang yang cacat jari.

Di sisi Murthy pula, beliau mengutamakan ketepatan masa dan kualiti kerja yang kemas agar mengekalkan kedudukannya di sebuah industri yang menyaksikan persaingan sengit.

"Dalam hidup ini, nak makan pun susah kalau tidak ada duit. Susah bukan untuk orang cacat sahaja, tetapi sekiranya kita melepasi tembok itu, semuanya mudah ditangani.

"Sebab itulah, saya tidak mahu menjadi seorang guru, pemuzik atau tukang urut badan. Itu semua sudah sinonim dengan golongan seperti saya. Saya mahu mencapai sesuatu yang berbeza. Beri peluang kepada kami untuk mengenali bakat kami. Bukan simpati!" tambah Prakash yang memandang tinggi terhadap bekas Presiden India, Dr. A.P.J Abdul Kalam dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


BILIK karel di Universiti Malaya dikhaskan buat pelajar-pelajar istimewa.


Merupakan seorang ahli jawatankuasa Kelab Golongan Kurang Upaya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, beliau kini membuat tesis tentang aspek budaya dalam penterjemahan buku Harry Porter.

Kalau tiada aral melintang, Murthy mahu meneruskan pengajian di peringkat ijazah Doktor Falsafah sambil mengeluarkan buku Braille kedua bahasa Tamil yang diterjemahkan ke bahasa Melayu. Buku Braille itu bakal menghimpunkan peribahasa Tamil dari suasana desa sehingga kawasan bandar.

Selain itu, Murthy juga menanam cita-cita untuk membuka agensi penterjemahan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang cacat penglihatan dan berpenglihatan.

Friday, May 15, 2009

Hari Guru

Tanggal 16 mei merupakan hari yang dipilih untuk meraikan seorang yang bergelar guru. Guru merupakan mereka yang dipertanggungjawabkan mendidik anak bangsa mengenal huruf untuk menjadikan seseorang itu sebagai manusia yang berguna di dalam hidupnya.

Jasa dan pengorbanan guru amat tinggi nilainya. Para guru diibaratkan lilin yang sentiasa menerangi suasana pembesaran seorang yang bernama murid atau pelajar di dalam alam yang dinamakan persekolahan.

Tugas dan bebanan mereka yang bergelar guru, kadangkala menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tinggi. Mereka tidak meminta untuk dibalas segala jasa dan bakti yang ditaburkan, namun cukup sekadar dapat melihat anak didiknya menjadi orang yang berjaya dan dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Penat lelah mereka akan terbayar tatkal melihat kejayaan yang dicapai oleh anak didiknya. Kepuasan akan terpancar pada raut wajah mereka di kala kejayaan berada di dalam genggaman pelajar-pelajarnya.

Masih aku terkenang, guru-guru yang telah mengajar aku sehingga menjadi seorang yang berilmu. Jasa kalian tidak akan kulupa.

Kepada semua guru di luar sana ingin aku ucapkan 'Selamat Hari Guru'. Semoga semua yang bergelar guru akan lebih bersemangat dan ikhlas dalam perjuangan mendidik anak bangsa.

Tuesday, May 12, 2009

Terkikiskah Bahasa Melayu?

Semakin hari, dapat dirasakan bahawa pemahaman Bahasa Melayu di kalangan generasi muda sekarang ini semakin berada pada tahap yang membimbangkan. Mungkin aku tidak mempunyai statistik yang jelas namun, apa yang berlaku di hadapanku menjadi bukti untuk aku jelaskan ianya benar-benar terjadi.

Sebagai orang yang menghabiskan masa di rumah, aku melakukan kerja-kerja sampingan yang dapat memenuhkan masa yang ada. Walaupun aku bukan dilatih sebagai guru yang mengajar Bahasa Melayu, namun aku cuba memberikan tunjuk ajar atas tiket ilmu yang sudah dibekalkan oleh guruku sewaktu aku masih bersekolah lagi. Mungkin pengajaran yang terkini mempunyai garis panduan yang berbeza berbanding sewaktu zaman aku bersekolah. Namun aku yakin terasnya tetap sama iaitu mengenai tatabahasa, karangan dan juga kefahaman.

Seorang ibu datang menemui aku dua tahun yang lalu meminta aku mengajar anaknya yang agak lemah dalam menjawab kertas peperiksaan Bahasa Malayu. Dalam fikiranku selemah manakah anaknya itu sehingga hendak menjawab kertas peperiksaan bahasa sendiri dianggap lemah. Aku bersetuju lalu meminta anaknya itu membawa sekali kertas peperiksaan yang telah dijawabnya. Apabila kertas itu ditunjukkan, aku terkesima sebentar. Daripada 100, pelajar muda itu hanya mendapat 3/100 sahaja. Aku menyelak-menyelak kertas tersebut mencari-cari mungkin berlaku kesilapan dalam menandakan kertas tersebut. Namun telahanku meleset kerana sememangnya pelajar itu layak mendapat markah sebegitu kerana hampir kesemuanya tidak berjawab. Aku terus meminta alasannya. Hanya dengan satu perkataan dia memberikan aku alasannya iaitu 'susah'. Kehairanan aku semakin memuncak. Bahasa sendiri dianggap susah. Tambah memeranjatkan lagi dia menyambung alasannya dengan nada merungut iaitu menyatakan belajar Bahasa Melayu lebih susah daripada belajar Bahasa Inggeris!

Tersirap darahku seketika. Alasan apakah yang diberikan ini? Alasan itu langsung tidak masuk akalku yang waras ini. Tanpa membuang masa aku pun mula memberikan pandanganku mengenai Bahasa Melayu yang dianggap "susah" ini oleh pelajar tersebut. Aku cuba memintanya membaca sebuah karangan pendek untuk aku menilai tahap pemahamannya terhadap bahasa ibundanya sendiri. Apabila membaca, ternyata merangkak-rangkak dan kadangkala perkataan yang dibunyikan agak pelik seperti mengarahkan (murid tersebut membaca mengerahkan). Aku suruhnya ulang perkataan tersebut kerana bagi aku mungkin dia tersalah baca. Namun, begitulah bunyinya apabila diulangi.

Suatu hari aku memintanya menulis karangan surat tidak rasmi. Aku memintanya menulis dengan format yang betul. Aku memintanya menulis alamat di sebelah kanan kertas. Dia bertanya kembali yang 'alamat' itu apa. Sekali lagi aku termangu. Untuk memahamkannya aku menyatakan alamat rumah di mana benda itu penting jika surat misalnya yang dialamatkan kepada kita akan sampai dengan selamatnya. Dia masih termangu-mangu. Akhirnya aku menyatakan alamat apabila di dalam bahasa inggeris disebut address. Serta merta pelajar tersebut mengangguk faham dan berkata, "Oh!Address. Senang sahaja."

Aku menggelengkan kepala. Perkataan bahasa ibunda sendiri tidak faham tetapi apabila diterjemahkan ke dalam bahasa asing, dengan mudah dia menangkap. Sejak itu latihan tubi aku berikan. Setiap hari sekurang-kurangnya 20 perkataan dalam bahasa melayu dia perlu tahu dengan maknanya sekali.

Aku dapat merasakan betapa semakin terhakisnya pemahaman Bahasa Melayu di kalangan generasi kini. Jika tidak diambil serius maka tidak mustahil bangsa Melayu sendiri tidak kenal bahasa sendiri. Alangkah sadisnya apabila perkara ini berlaku. Semakin sibuk pelajar kini diajar bahasa asing dalam mata pelajaran tertentu, semakin hilang pemahaman mereka terhadap bahasa sendiri!